Punca kemalangan bukan pasal umur, tapi sikap pemandu

0
1

Nilam Oshman

CADANGAN untuk menarik balik atau mengehadkan pengeluaran Lesen Memandu Malaysia (LMM) kepada warga emas berusia 70 tahun dan ke atas, disifatkan tidak relevan.

Tinjauan Malaysiapost mendapati warga emas sendiri tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana disifatkan tidak adil kepada mereka.

Sehubungan itu, mereka mahu kerajaan meneliti dan mengkaji dengan lebih terperinci mengenai cadangan tersebut.

Peniaga, Ahmad Hamid, 72, berpandangan perkara itu tidak wajar sama sekali dibangkitkan terutama kepada warga emas yang masih mampu dan sihat untuk memandu.

Peniaga, Ahmad Hamid, 72

“Kerajaan perlu meneliti lebih mendalam mengenai cadangan itu. Kita kena lihat dari segi kesihatan, seperti saya yang sudah berumur 72 tahun tetapi masih kuat dan gagah, dan saya sendiri suka memandu. Jadi apa salahnya.

“Lagipun, kerajaan juga dapat duit melalui lesen ini, namun faktor kesihatan paling penting tidak kira muda ataupun tua,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan melakukan pemeriksaan kesihatan kepada golongan warga emas dan jika mempunyai penyakit serius membabitkan jantung, darah tinggi dan kencing manis, mereka sepatutnya dipertimbangkan untuk penarikan lesen memandu.

“Tapi sebaliknya orang tua yang masih sihat, cergas dan tiada penyakit kronik, mereka ini perlukan lesen. Jika ditarik lesen, warga emas ini tetap memandu kerana mereka sudah biasa, selain itu, ada keinginan nak bawa cucu, isteri dan keluarga berjalan.

“Lebih baik beri sahaja lesen malah risiko pun tak tinggi sebab insurans ada, cukai jalan dihidupkan. Jadi, janganlah sekat,” katanya.

Pemandu teksi, Abdul Shukor Ibrahim, 62, pula berpendapat kemalangan bukan kerana faktor umur tetapi atas sikap individu itu sendiri, maka penarikan lesen perlulah adil tidak kira golongan muda atau tua.

“Majoriti kemalangan ini biasa berlaku ke atas mereka berusia lingkungan 20 hingga 30-an. Kalau kita tengok kemalangan melibatkan orang tua berumur 70 tahun ke atas tak sampai 10 peratus.

“Jadi jika kerajaan nak tarik lesen warga emas ini memang tak patut. Contoh Tun Dr Mahathir Mohamad sudah 96 tahun masih steady lagi memandu.

“Jadi, punca kemalangan bukan pasal umur, tapi sikap pemandu kerana orang-orang muda ini ketika belajar memandu semua ikut peraturan tapi dah dapat lesen lain jadinya,” katanya.

Sementara itu,pekerja swasta, Nora Azlina Zulkifli Endar Singh, 39, berkata tidak semua warga emas duduk bersama anak mereka, maka lesen memandu perlu sekiranya terjadi kecemasan atau untuk membeli barang keperluan serta membayar bil utiliti.

Pekerja Swasta, Nora Azlina Zulkifli Endar Singh, 39

“Takkan anak-anak nak biarkan orang tua naik Grab atau teksi keluar beli barang. Macam manapun, saya tidak setuju lesen warga emas ditarik,” katanya.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata cadangan menghadkan lesen memandu kepada warga emas adalah cadangan peribadi disuarakan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Susulan cadangan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata cadangan itu perlu dilihat secara meluas dan holistik termasuk keperluan untuk mobiliti dan faktor sosio-ekonomi lain yang perlu dipertimbangkan.

Menurutnya menarik balik atau mengehadkan lesen harus jadi pilihan terakhir, iaitu setelah seseorang individu termasuk warga emas terbukti tiada lagi keupayaan untuk memandu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here