[PARLIMEN] JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) menjalankan satu kajian berhubung skim pencen untuk penjawat awam bagi memastikan kehidupan pasca perkhidmatan mereka berada tahap selesa.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, kajian itu melibatkan pesara penjawat awam yang berada di bawah garis kemiskinan yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.
Katanya, segelintir pesara penjawat awam berpendapatan kurang daripada garis kemiskinan iaitu RM2,208 masih terpaksa berkerja kerana memenuhi keperluan hidup.
“Itu satu perkara yang sedang difikirkan dan JPA telah buat satu kajian, ia akan dibentangkan kepada Perdana Menteri sebelum dibuat memorandum Jemaah Menteri untuk melihat kembali demi keselesaan mereka ketika pencen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) berhubung perancangan kerajaan bagi membantu golongan pesara yang berada di bawah paras garis kemiskinan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Latiff menjelaskan bayaran pencen penjawat awam meningkat dua peratus setiap tahun, sebelum pandemik sejak 2013.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi meningkatkan kadar bayaran pencen, kerajaan perlu membuat kajian dengan lebih mendalam. – Malaysiapost

