KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong sepenuhnya langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan penjawat awam di peringkat Persekutuan mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Presidennya Adnan Mat, berkata langkah itu selari dengan aspirasi keseluruhan warga perkhidmatan awam yang menyaksikan hampir 98 peratus sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Menurutnya, setakat ini hanya segelintir sahaja daripada penjawat awam yang masih belum divaksin dan sehubungan itu pihaknya meminta semua penjawat awam akur dengan langkah ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, ia bertujuan bagi memulihkan kembali negara yang terkesan daripada sudut ekonomi dan sosial.
“Tempoh masa sehingga 1 November ini yang ditetapkan juga adalah munasabah untuk penjawat awam melengkapkan vaksinasi melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah dibuka kerajaan.
“Cuepacs berharap semua ketua jabatan mengambil maklum arahan terbaharu ini dan memaklumkan maklumat berkenaan kepada kakitangan yang masih belum divaksin.
“Sebagai penjawat awam, kita perlu akur dengan arahan ini memandangkan penjawat awam adalah jentera pentadbiran kerajaan yang menjadi pelaksana dan mendukung segala dasar dan polisi kerajaan,” katanya.
Adnan berkata, pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam mampu memberikan keyakinan dan jaminan seterusnya melancarkan urusan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
“Cuepacs sekali lagi ingin menegaskan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan ini bukanlah bertujuan untuk menghukum kerana telah banyak ruang dan peluang diberikan sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan.
“Sebagai makluman, semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Kita adalah pekerja kerajaan yang menerima arahan kerajaan dan melaksanakan dasar kerajaan yang mengurus semua perkara berkaitan dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” tegasnya. – Malaysiapost

