Pembukaan pintu sempadan diputus selepas negara beralih fasa endemik

0
1
Datuk Seri Hamzah Zainudin

KEPUTUSAN membuka pintu sempadan negara bagi membenarkan kemasukan pelancong asing ke negara ini hanya akan ditentukan selepas negara beralih ke fasa endemik Covid-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pada masa ini negara masih berada dalam fasa pandemik wabak itu dan kesediaan untuk peralihan ke fasa endemik akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Apabila kita telah bersedia, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan, sekarang ini masih dalam isu fasa pandemik, kalau kita sudah bersedia boleh masuk ke fasa endemik.

“Sebenarnya, (agensi penguatkuasaan yang mengawal pintu masuk sempadan) Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia, Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah bersedia, kami sudah bersedia (untuk pintu sempadan negara dibuka),” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Hamzah berkata, kebenaran rentas pintu sempadan negara oleh rakyat negara ini atau warga asing itu juga nanti akan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan kemudian.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia bakal memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung Oktober ini.

Beliau berkata, peralihan fasa itu dijangka berlaku selepas 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here