AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kes taksiran penalti cukai RM1.7 bilion yang dikemukakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai sesuatu yang ‘memang pelik’.
Ini kerana katanya, LHDN membantah permohonan Najib untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membuat pemeriksaan ke atas lima pegawai LHDN.
“Alasan Najib ialah pihak LHDN gagal memberi butiran bagaimana pengiraan jumlah keseluruhan cukai dikenakan terhadapnya.
“Pelik juga kenapa Najib tidak boleh diberitahu bagaimana taksiran penalti cukai RM1.7 bilion dikira. Di mana keadilan dan ketelusan LHDN,” katanya menerusi Facebook.
Mohd Puad berkata, adakah LHDN tidak bimbang imej lembaga itu akan tercalar bahawa ia adalah agensi yang membuat tindakan selektif dan didakwa mengikut arahan politik.
Katanya, semua mengetahui tindakan LHDN itu dibuat pada zaman ‘siapa’ jadi Perdana Menteri, dan disebabkan itu tindakan Najib buat laporan polis adalah tepat.
“MP (Ahli Parlimen) Jelutong minta Najib jangan buli Pegawai LHDN. Siapa buli siapa? Siapa yang buli Pegawai bawahan buat taksiran yang mahu disembunyikan kaedah pengiraannya.
“Nak tanya Rayer, siapa Menteri Kewangan masa tu? Ramaikah lagi mereka yang kena tindakan taksiran selektif seperti itu?,” soalnya.
Mohd Puad berkata, ramai pembayar cukai menggunakan konsultan untuk berbincang semula taksiran cukai dengan pihak LHDN.
“Pengiraan semula akan dibuat. Pembayar cukai akan tahu bagaimana cukai itu dikira.
“Maka apa logiknya permohonan Najib ditolak? Semoga Kerajaan baru tidak berkompromi dengan tindakan pelik LHDN,” katanya.
Pada 9 September lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah ini. – Malaysiapost

