Kanak-kanak 3 tahun, kes Covid-19 pertama Gelembung Pelancongan Langkawi

0
1

KANAK-KANAK berusia tiga tahun menjadi kes pertama positif Covid-19 dalam kalangan pelancong Gelembung Pelancongan Langkawi yang disahkan positif pada 26 September lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo, berkata kanak-kanak terbabit yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan bersama ibu bapanya ke Langkawi pada 24 September lalu.

Menurutnya, keluarga berkenaan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kira-kira jam 7.30 malam dan kedua-dua ibu bapa lengkap vaksinasi.

“Kedua-dua ibu bapanya juga bukan kes positif Covid-19 atau kontak rapat dan tidak bergejala serta ujian saringan yang dijalankan di KLIA2 sebelum berlepas ke Langkawi juga disahkan negatif.

“Kanak-kanak terbabit juga tidak mengalami gejala sebelum berlepas dan semasa saringan kesihatan di KLIA2 dijalankan serta dilaporkan sentiasa memakai pelitup muka sepanjang berada di lapangan terbang, dalam penerbangan dan ketika di Langkawi.

“Namun kanak-kanak itu mula mengalami demam pada 25 September serta dibawa mendapatkan rawatan keesokan harinya dan disahkan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu kes berkenaan didaftarkan dan diklasifikasi sebagai Import B (kes rentas negeri) iaitu kes dalam kalangan pelancong di Langkawi.

“Hasil siasatan mendapati selain daripada ibu bapanya, terdapat tiga saudara yang merupakan penduduk tempatan Langkawi menjadi kontak kepada kanak-kanak ini.

“Kesemua lima kontak rapat telah diambil swab dan diberikan arahan kuarantin selama 10 hari. Hasil keputusan swab kesemua kontak rapat adalah negatif,” katanya.

Dr Othman berkata, siasatan juga mendapati kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak berkenaan berlaku sebelum melancong ke Langkawi dan siasatan lanjut serta pengesanan kontak rapat masih diteruskan.

“Sehingga hari ini, hanya satu kes positif dilaporkan melibatkan pelancong yang melancong ke Langkawi dan tiada penularan di kalangan ahli keluarga serta penduduk tempatan.

“Keadaan pesakit kini adalah bergejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan pasukan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) daerah Langkawi, manakala kontak rapat yang lain tidak bergejala serta semuanya telah lengkap vaksinasi,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan dan memastikan langkah-langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here