
KOMPLEKS Seri Perdana telah mencecah usia 22 tahun dan telah mengalami banyak kerosakan, kata Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Justeru beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat skop kerja-kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan RM38.5 juta, termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.
“Kompleks Seri Perdana yang dibina pada tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 1999, adalah kediaman rasmi kerajaan untuk Perdana Menteri Malaysia.
“Projek ini diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac 2021. Ia dijangka siap pada 7 Disember 2021.
“Setakat hari ini kerja-kerja baik pulih telah mencapai 74 peratus kemajuan, berbanding 71 peratus seperti dalam jadual,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan lagi berhubung jawapan bertulis kerajaan di Dewan Rakyat semalam berkenaan kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian Kompleks Seri Perdana yang dilaporkan menelan kos RM30 juta.
Abdul Latiff turut memaklumkan ia bagi menjawab pertanyaan lisan soalan bernombor 49 oleh Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena), mengenai status projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana.
Beliau juga menjelaskan ia telah dijawab secara bertulis oleh dirinya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan bukan oleh Perdana Menteri. -Malaysiapost
