SEBULAN bertarung nyawa akibat Covid-19, abang kepada Allahyarham Siti Sarah iaitu Ahmad Firdous Raissuddin mengakui menyesal terpengaruh dengan dakyah golongan antivaksin.
Malah tambah mengecewakan, Firdous juga mengaku dia pernah menghina para ‘frontliners’ yang bertungkus lumus berusaha keras memerangi pandemik itu.
Menurutnya, kejadian yang menimpa keluarganya adalah hikmah yang ditunjukkan oleh Allah kepadanya.
Katanya, meskipun pernah dikecam kerana antivaksin, segalanya berubah selepas dia ditimpa musibah itu.
Kini, dia tidak sabar untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 selepas paru-parunya sembuh daripada jangkitan wabak berkenaan.
“Yang mana orang kata saya antivaksin, tak apa la…itu pengalaman dan pengajaran untuk saya. Saya terima kecaman itu semua.
“Saya berterus terang, walaupun sebelum ini saya antara pengikut antivaksin tapi apabila dah terkena jangkitan baru saya tahu perit untuk melawan Covid-19.
“Kalau esok boleh, esok juga saya mahu pergi cucuk vaksin, tapi doktor sarankan dalam keadaan paru-paru yang belum pulih sepenuhnya, saya perlu tundakan dahulu.
“InsyaAllah lepas sembuh nanti saya nak ambil vaksin. Lagi pun kalau tak vaksin, susah juga nak pergi beli barang-barang,” katanya dalam sesi live di Facebook.
Firdous juga menjelaskan, perkongsian yang dibuat itu bukanlah untuk memaksa mana-mana pihak mendapatkan vaksin namun mengingatkan orang ramai agar lebih peka dan bertanggungjawab kepada orang sekeliling.
“Saya tidak mewakili mana-mana pihak, cuma saya ingin berkongsi pengalaman sendiri sahaja. Mana yang tak nak ambil vaksin terpulang kepada anda, tapi saya mahu ingatkan jika dijangkiti, anda akan menjangkiti orang lain yang kita tidak tahu sejauh mana kekuatan antibodi mereka mahu melawan Covid-19.
“Yang sudah ada dua dos pun jangan riak dan bangga sebab kita boleh jadi pembawa dan menjangkiti orang lain juga.
“Pengalaman yang sangat mengerikan telah berlaku kepada saya, jadi saya cuba bagi iktibar kepada org lain, agar tidak merasa apa yang saya lalui sebelum ini,” katanya.
Pada 10 Ogos lalu, Firdous disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke Hospital Serdang, Selangor dan terpaksa ditidurkan sehari selepas paras oksigennya menurun.
Firdous yang dirawat di hospital selama lebih sebulan, memaklumkan jangkitan tersebut menyebabkan paru-parunya rosak teruk.
Justeru, Firdous memohon maaf kepada orang ramai terutamanya kepada petugas barisan hadapan kerana sebelum ini dia begitu tegar percaya kepada dakyah antivaksin dan sering berkongsi dakyah tersebut di media sosial.
Firdous juga berterima kasih kepada semua frontliners yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawanya sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Pada mereka yang saya pernah tulis pembunuh la, apa la…saya mohon maaf banyak-banyak pada doktor dan berterima kasih.
“Mereka bertungkus lumus menyelamatkan nyawa saya ni. Frontliners yang menjaga di ICU saya katil di depan, bayangkan bagaimana mereka bekerja.
“Yang kita ni pula kata nurse tu nak bunuh kita. Ada nurse tunggu depan kita, apa-apa jadi…kau kencing, kau berak, dialah yang mengelap, pakai diapers. Wad ICU mana ada tandas. Macam mana kita nak hina dia lagi?”
“Tula, apabila dah kena baru tahu. Baru rasa teruklah kita ni menyebar benda tak benar. Tak baik…padahal dia yang tolong kita,” katanya.
Adiknya, penyanyi Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos disebabkan komplikasi berpunca Covid-19 selepas tiga hari ditidurkan. – Malaysiapost

