Kematian Adib: PPMM terkejut dengan kenyataan Zuraida

0
1

PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) terkejut dengan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bahawa kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata ia tidak seharusnya dikeluarkan seorang menteri apatah lagi tidak berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang jenayah.

Katanya, sewajarnya Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pendakwaan dan siasatan jenayah.

“Jika siasatan ditutup bagaimanakah bukti baharu akan diperolehi? Sehingga kini rakyat masih terpinga-pinga kedudukan kes ini walaupun dulu pernah ada beberapa orang yang direman berkaitan pembunuhan arwah Muhammad Adib.

“PPMM mendesak Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menzahirkan kedudukan terperinci mengenai siasatan tersebut dan tidak hanya berdiam diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zainul Rijal berkata, PPMM menegaskan bukti baharu tidak akan datang bergolek begitu sahaja jika siasatan ditutup sementara dan menjadi tugas polis mencari bukti-bukti tersebut sehingga ke tahap melampaui keraguan munasabah bagi membela Muhammad Adib.

Beliau menambah, persoalan timbul kini adakah polis sudah buntu, tidak menemui jalan dan sudah letih menyiasat kes pembunuhan Muhammad Adib dan mengumpul buktinya?

“Begitu juga berkaitan permohonan komital dibawa keluarga arwah Muhammad Adib perlu diselesaikan segera dan adil terutama kerajaan perlu jelaskan pendirian, mengapa Tan Sri Tommy Thomas masih lagi dibela oleh kerajaan dalam prosiding komital di Mahkamah Rayuan, sedangkan ketika masih menjadi pembangkang mereka sangat lantang mengecam tindak tanduk Tommy Thomas dalam menangani inkues arwah Adib.

“Dalam masa sama banyak laporan polis dibuat pelbagai pihak termasuk keluarga arwah Muhammad Adib, mantan Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali dan ramai lagi yang masih lagi tidak ketahuan tindakan yang diambil oleh polis,” katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.

Katanya lagi, Koroner Rofiah Mohamad turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

“Keputusan mahkamah koroner perlu dihormati kerana tiada sebarang proses perundangan dibawa oleh kerajaan bagi merayu atau menyemak keputusan tersebut.

“Ini bermakna kerajaan berpuas hati dengan keputusan koroner. Oleh itu jika sekarang ada yang cuba mempertikai keputusan koroner tersebut, ia bukan berpaksi kepada aspek perundangan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Zainul Rijal menegaskan, PPMM mendesak siasatan kes pembunuhan Muhammad Adib tidak ditutup walaupun sementara dan usaha perlu dilipatganda bagi membawa pembunuh ke muka pengadilan.

“Di dalam undang-undang jenayah tiada had batasan waktu ditetapkan bagi memulakan prosiding jenayah terhadap mana-mana pihak.

“PPMM menegaskan kepada rakyat Malaysia yang prihatin bahawa pembelaan kepada arwah Muhammad Adib masih perlu diteruskan. Seorang penjawat awam yang bertugas dengan kerajaan perlu dibela kematiannya oleh kerajaan,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here