KDN jamin integriti data rakyat Malaysia selamat

0
1

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sentiasa memastikan keselamatan dan integriti data rakyat Malaysia yang berada di bawah jagaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terjamin dan selamat.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata KDN juga akan memastikan semua agensi yang menggunakan data myIDENTITY daripada JPN segera mengambil langkah keselamatan yang tinggi.

Katanya, ia bagi mengelakkan kebocoran data daripada dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mengulas mengenainya, Hamzah berkata, JPN telah mengesan satu hantaran di forum dalam talian iaitu RaidForums.com yang memaparkan satu dakwaan wujudnya penjualan data rakyat yang diperoleh daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui perkongsian Sistem myIDENTITY milik JPN, pada 27 September lalu.

“Data tersebut didakwa berjumlah 4 juta yang mengandungi maklumat rakyat Malaysia kelahiran tahun 1979 hingga 1998. Data ini ditawarkan untuk jualan dengan harga 0.2 BTC (Bitcoin- Matawang Digital) yang bersamaan dengan RM35,495.

“JPN telah melaporkan perkara ini kepada LHDN supaya membuat siasatan sama ada kebocoran data tersebut berlaku di agensi tersebut.

“Laporan Polis juga dibuat oleh JPN pada 27 September dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 28 September bagi membolehkan siasatan segera dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, satu perbincangan bersama National Cyber Coordination And Command Centre (NC4) NACSA dan LHDN juga telah diadakan, antara lain mengenai isu-isu serta kaedah perkongsian myIDENTITY dengan LHDN serta kawalan keselamatan terhadap data berkaitan.

Menurut Hamzah, JPN berkongsi perkhidmatan Sistem myIDENTITY dengan beberapa agensi kerajaan bagi tujuan semakan dan pengesahan identiti warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berurusan di agensi masing-masing.

“JPN telah menjalankan siasatan dalaman dan mendapati tiada kebocoran data berlaku dalam sistem di JPN. Malah, JPN mengesahkan tiada sebarang kes seperti demikian yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here