LEBIH 27,000 penduduk Kelantan mengisytiharkan tidak mahu menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat hari ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, daripada jumlah tersebut, lebih 9,000 merupakan individu antivaksin yang tegar menolak suntikan tersebut.
Beliau berkata, angka selebihnya pula adalah mereka yang menolak vaksin kerana masalah kesihatan serta mempunyai penyakit.
“Setakat ini data dikumpulkan melalui pemimpin setempat termasuk ketua-ketua jajahan, ketua kampung dan sebagainya mendapati 27,000 daripada keseluruhan 1.103 juta penduduk di Kelantan tidak mahu divaksin.
“Lebih 9,000 orang yang enggan divaksin itu memberi pelbagai alasan, antaranya mendakwa vaksin adalah agenda Yahudi dan berbahaya. Selebihnya tidak mahu divaksin kerana berpenyakit,” katanya kepada media seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.
Bagaimanapun Dr Izani berkata, kerajaan negeri tidak mahu melabelkan golongan yang enggan menerima vaksin itu sebagai antivaksin, sebaliknya berharap mereka mengubah pendirian.
“Dasar kerajaan sememangnya tidak boleh memaksa seseorang individu untuk mengambil vaksin, namun jika tidak divaksin akan mengundang bahaya kepada orang lain serta diri mereka sendiri ketika berurusan dengan pihak lain.
“Sebab itu vaksin penting dan berkesan untuk mencegah Covid-19. Jadi saya minta mana-mana individu yang tidak mahu divaksin itu supaya ubah fikiran,” katanya.
Sementara itu, Dr Izani berkata, sebanyak 72 peratus kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Kelantan membabitkan individu belum menerima vaksin.
“Sehingga kini, Kelantan mencapai 94 peratus individu dewasa yang sudah divaksin dos pertama, manakala 38,000 orang lagi belum menerima vaksin,” katanya. – Malaysiapost

