[PARLIMEN] RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, semalam perlu disemak semula setahun kemudian supaya lebih tepat dan berdasarkan kepada keadaan sebenar semasa itu.
Perkara itu dicadangkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, yang berpandangan ia perlu dilakukan kerana pembentangan RMK12 yang merangkumi tempoh tahun 2021 hingga 2025 itu sudah lewat setahun.
Beliau bagaimanapun berpendapat pada asasnya, matlamat dan sasaran pelan RMK12 adalah usaha terpuji dengan pembentangan komprehensif rancangan berkenaan.
“Syabas saya ucapkan kepada Perdana Menteri, kerajaan termasuk penjawat-penjawat awam atas pembentangan rancangan yang komprehensif dengan sasaran-sasaran yang murni ini.
“Hakikatnya, kita sudah terlewat setahun membentangkan RMK12 yang merangkumi tempoh tahun 2021 hingga 2025 memandangkan kita kini sudah sampai ke penghujung tahun 2021.
“Ini disebabkan ketidaktentuan berpunca dari pandemik Covid-19 yang belum selesai. Oleh itu, saya berpandangan ada keperluan bagi RMK12 disemak semula setahun kemudian supaya lebih tepat dan berdasarkan keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan pembentangan RMK12 dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Najib turut menyokong pembentangan RMK12 itu berdasarkan kepada enam teras dicadangkannya iaitu daya tarikan dan kedinamikan Malaysia; membantu rakyat membina kekayaan dan keperluan kerajaan untuk mempermudahkan urusniaga.
Tiga lagi teras dicadangkannya adalah memanfaatkan sepenuhnya projek infra-rakyat sedia ada atau hampir siap; komitmen negara kepada keperluan prinsip ESG iaitu Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus yang semakin penting; dan kecekapan dan kestabilan kerajaan. – Malaysiapost

