Nilam Oshman
Peguam Aidil Khalid yang mewakili bapa Allahyarham Muhammad Adib, iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid menafikan bahawa perbicaraan membabitkan anggota yang terbunuh dalam insiden rusuhan berakhir 23 September lalu.
Aidil berkata, perbicaraan itu tidak akan berakhir selagi mana pembunuh kepada Muhammad Adib tidak dihadapkan ke muka pengadilan.
“Terdapat dua perkara yang perlu jelas, kononnya dikatakan perbicaraan Muhammad Adib berakhir Khamis lalu, tidak benar.
“Kes itu bukan melibatkan kes bunuh, tapi melibatkan 18 tertuduh antara kesalahan memiliki senjata dalam perhimpunan haram dan mereka dituduh dibawah yang bukan tuduhan bunuh.
“Jadi, maksudnya setakat ini pembunuh belum pernah lagi dituduh, jadi, untuk Menteri jawab dalam Parlimen mengaitkan kes perbicaraan Adib itu berakhir 23 September lalu itu tidak betul,” katanya kepada Malaysiapost.
Sebelum ini, media melaporkan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham.
“Itu yang saya difahamkan tetapi mungkin mereka (pihak berkenaan) belum mengumumkan (kes berkenaan ditutup) dan melihat bagaimana kita dapat membantu keluarga Adib,” katanya ketika ditemui media pada Program Jelajah Ampang Prihatin di Kuala Ampang di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada had masa untuk kes berkaitan jenayah tiada tempoh masa ditetapkan bagi menutup kes terbabit.
“Tidak ada tempoh had masa jadi selagi mana pembunuh itu tidak dapat dijumpai, justeru sepatutnya pihak polis kena mencari (pembunuh) kerana ia adalah arahan daripada Mahkamah, inkues.
“Selain itu, apa yang Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu katakan mengenai kes ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu, ini sebenarnya bercanggah dengan keputusan inkues sebab perkara ini bukan portfolio Zuraida dan hal yang diumumkan itu tidak betul dari segi undang-undang.
“Sebab kes jenayah tidak boleh ditutup melainkan hasil siasatan mengatakan bahawa tidak ada pelaku.. Lain kes Adib ini. Bukan dapatan tidak ada jenayah cuma tidak jumpa.. jadi tidak dapat cari dan jumpa maka tidak boleh tutup kes.. kita cuma boleh kata siasatan gagal untuk mencari.. itu sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, katanya beliau tidak boleh mengesahkan kes Muhammad Adib ini ditutup atau sebaliknya.
“Hanya pihak polis dan Jabatan Peguam Negara yang boleh sahkan,” katanya.
Malaysiapost cuba mendapatkan pengesahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, namun beliau enggan memberi komen. – Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram/Aidil Khalid

