“SETIAP orang tidak lari dari kesalahan dan perlu ada insan lain yang menegur kesalahan tersebut. Setiap teguran adalah penambahbaikan, terutama kepada seorang pemimpin.”
Demikian kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengulas mengenai video tular kenderaan mewah didakwa miliknya yang dipandu secara berbahaya.
Susulan penularan video tersebut, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu mengucapkan jutaan terima kasih buat mereka yang merakam dan menegur kesalahan tersebut.
“Saya amat menghargai teguran dan nasihat yang diberikan, sama ada secara terus kepada saya, atau melalui komen di media sosial.
“Sebagai seorang insan yang tidak sempurna, saya mengambil tanggungjawab atas teguran yang diberikan dan menjadikan ia sebagai penambahbaikan buat saya dan kakitangan saya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam, Polis Kelantan mengesahkan menerima satu laporan berkaitan sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran ‘P45’ yang memandu secara berbahaya sehingga tular di Facebook, sejak kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Suhaimi Jusoh memaklumkan susulan itu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, video berdurasi 38 saat itu dikongsikan menerusi akaun Facebook iaitu ‘ANA TAHU’ dan mendakwa kenderaan dengan nombor pendaftaran ‘P45’ itu dipercayai milik seorang timbalan menteri.
Berdasarkan video itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut memotong di garisan berkembar ketika keadaan sesak di Gong Dermin, Kota Bharu.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata insiden tersebut kini dalam siasatan pihak berkuasa dan pemandu kenderaan itu telah dipanggil memberikan keterangan kepada polis.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya.
“Dan sekiranya dikenakan hukuman, semoga ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat beliau dan saya sendiri. Biarlah hukuman itu di atas dunia, andai dengan sebab itu, ia melepaskan kami dari hukuman di akhirat.
“Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul. Semoga peristiwa ini memberi peluang untuk kami terus menjalankan tugas dengan penuh jujur dan berintegriti, demi rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

