SEORANG ahli perniagaan menjadi mangsa penipuan saham digital ditawarkan melalui Facebook selepas terpesona dengan janji memperoleh pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam selepas melabur.
Mangsa berusia 59 tahun itu memperoleh maklumat mengenai syarikat menawarkan peluang pelaburan itu selepas melayari laman sosial tersebut di kediamannya dekat Kampung Batu Talam, Raub, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi nombor telefon syarikat tersebut melalui aplikasi WhatsApp bagi mengetahui lebih lanjut mengenai skim pelaburan yang ditawarkan.
Katanya, mangsa kemudiannya dihubungi suspek bernama ‘Puan Rosmawati Darmadi’ yang mendakwa pegawai pelaburan syarikat berkenaan.
“Suspek memberitahu mangsa skim ditawarkan syarikat itu adalah pelaburan saham digital dan mangsa berpeluang memperoleh pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam selepas melabur.
“Mangsa yang teruja apabila suspek memaklumkan pelabur akan mendapat RM16,000 jika melabur RM500 di syarikat terbabit, menyatakan persetujuan untuk menyertai skim pelaburan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.
Mohd Wazir berkata, suspek seterusnya meminta mangsa menghantar butiran peribadi dan salinan penyata akaun bank bagi urusan pendaftaran, selain diminta memindahkan sejumlah wang ke dua nombor akaun untuk tujuan pemprosesan.
“Sejak Jumaat lalu hingga semalam, mangsa mendakwa sudah membuat lima kali transaksi pemindahan wang ke dua nombor akaun diberikan suspek dengan nilai keseluruhan RM2,980.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek terus memintanya memindahkan wang kononnya untuk pelbagai urusan lain membabitkan pelaburan itu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Raub semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

