
JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri Sarawak memutuskan zon Selatan negeri itu akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat ini.
Keputusan dibuat selepas penilaian risiko Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak yang turut mengambil kira nilai ambang bagi tiga indikator PPN bagi kawasan itu.
Jawatankuasa berkenaan memaklumkan keputusan itu membabitkan daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor-sektor khusus boleh didapati di laman web kementerian berkaitan yang akan dimuat naik minggu ini.
“Pergerakan rentas daerah bagi Fasa Tiga PPN masih memerlukan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
“Bagi pemandu dan pekerja sektor kenderaan yang membawa barangan serta perkhidmatan perlu diwajibkan menjalani saringan setiap tujuh hari selain mendapatkan permit PDRM jika perlu merentas daerah dengan kerap atau berkala,” menurut kenyataan itu.
Sarawak sebelum ini dibenarkan beralih ke Fasa Tiga PPN pada 3 Ogos lalu, namun menangguhkannya di zon berkenaan berikutan angka kes masih tinggi ketika itu. – Malaysiapost
