KETUA ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Masitah Ab Jalar atau lebih dikenali sebagai Sittah Annur, 39, mengisytihatkan bertaubat, hari ini.
Majlis Pengisytiharan Taubat itu dilaksanakan Jabatan Agama Islam Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, dengan disaksikan oleh empat orang saksi.
Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata selain dirinya sebagai saksi, ia turut disertai Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, Setiausaha, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar dan wakil Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Ansarullah Mohd Hashim.

Menurutnya, JAIS telah meneliti dan memperhalusi setiap pernyataan di dalam video-video milik Masitah yang dikongsi di laman sosial.
“Dapatan JAIS kemudiannya telah dirujuk ke Jabatan Mufti Negeri Selangor dan diperakukan oleh Sahibus Samahah Datuk Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor bahawa perbuatan dan pernyataan Masitah adalah bertentangan dengan hukum syarak.
“Berikutan dengan itu, pernyataan Masitah adalah satu perbuatan yang disyaki bersalahan dengan Seksyen 7 dan Seksyen 8(b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) Tahun 1995,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, beliau berkata, Masitah telah dipanggil menghadiri sesi penjelasan bersama tiga orang panel pakar akidah yang dilantik oleh JAIS, pada 20 September lalu.
“Hasil daripada sesi penjelasan tersebut Masitah telah akur, insaf dan menyesal tentang perbuatannya membuat pernyataan yang bercanggah dengan hukum syarak serta menyeleweng, menyimpang dari akidah Ahli Sunah Waljamaah.
“Pernyataan beliau tentang pengetahuannya juga adalah suatu pernyataan mengenai perkara atau peristiwa yang di luar pemahaman atau pengetahuan umum,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Majlis Pengistiharan Taubat hari ini diatur atas persetujuan Masitah dengan rela tanpa paksaan.
“Ia demi memberitahu kepada umum, khususnya kepada individu atau pihak yang percaya dan berpegang kepada pernyataan mimpi beliau untuk turut bersama-sama mengakui kekhilafan yang dilakukan, bertaubat serta kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang benar,” katanya
Sebelum ini, media melaporkan penahanan Sittah Annur, membongkar penemuan dana sumbangan pengikutnya sebanyak RM84,721.42.
Ia hasil penemuan satu resit ketika serbuan dilakukan pihak berkuasa di rumahnya di Shah Alam, awal bulan ini.
Ajaran PMYT mula didedahkan media pada 29 Ogos lalu yang pendedahannya disambut dengan siri laporan polis terhadap kumpulan itu di seluruh negara. Untuk rekod, terdapat 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu.
Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh. – Malaysiapost

