SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam, petang semalam ditemui lemas, pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang kampung di dasar longkang, jam 8.42 pagi tadi.
“Mangsa ditemui kira-kira 15 meter dari lokasi dia terjatuh semalam dan mayatnya kini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan mangsa dikhuatiri hanyut dibawa arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang pada 6.18 petang semalam.
Susulan itu, Norazam memaklumkan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam serta Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian. – Malaysiapost

