MALAYSIA kekal dengan pendekatan untuk terus mempromosikan keamanan dan mencegah berlakunya konflik menerusi ‘strategi’ dasar luarnya, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri menegaskan, Malaysia akan terus menegakkan prinsip asas mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara, mengekalkan hubungan baik termasuk mempromosi toleransi, saling menghormati serta persefahaman dalam kalangan semua masyarakat dan negara.
Katanya, Malaysia selaku negara anggota ASEAN komited dalam memelihara rantau Asia Tenggara sebagai Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN).
“Malaysia sekali lagi mengesahkan komitmen negara ini ke arah mewujudkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran global dengan terus menerajui pembentukan Komuniti Bersama mengenai gencatan senjata global pada Jun tahun ini.
“Kami sangat yakin negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti bersatu suara mengenai perlunya gencatan segera dalam pertikaian di seluruh pelosok dunia.
“Ia akan membenarkan kerajaan dan semua pemegang taruh untuk menumpukan perhatian mereka memerangi musuh berbahaya manusia,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-76, malam tadi.
Perdana Menteri berkata, Malaysia juga adalah negara yang menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kesemua usaha dan inisiatif ke arah mempromosi kehidupan bersama, mengutamakan soal keamanan antara negara, antara manusia dan perbezaan kepercayaan serta kebudayaan.
Katanya, sebagai negara yang kaya kepelbagaian budaya, kaum dan agama, Malaysia amat yakin apa yang diamalkan di negara ini boleh diadaptasikan untuk seluruh dunia.
Justeru, Perdana Menteri berkata, multilateralisme dan hidup bersama secara aman adalah saling mengukuhkan antara satu sama lain.
“Kita perlu sedar ketika kita menjadi lebih maju, kita sepatutnya lebih bersatu padu dan kuat sebagai keluarga bangsa.
“Penghormatan dan persefahaman bersama mesti menjadi tulang belakang serta dasar ketika berinteraksi dan berbincang,” katanya.
Pada masa sama Ismail Sabri menegaskan, dunia perlu belajar meraikan dan memberi layanan dengan tulus ikhlas serta penghormatan yang bermakna, tidak seharusnya memadai dengan hanya bertolak ansur terhadap perbezaan.
“Di tengah-tengah ketidaktentuan global, sudah tiba masanya kita bekerja dan memperkukuhkan usaha ke arah kehidupan bersama dalam kedamaian dan keharmonian,” katanya. – Malaysiapost

