MALAYSIA menggesa semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyahut seruan reformasi pertubuhan itu dengan lebih bersungguh-sungguh dalam isu membabitkan keamanan antarabangsa, keselamatan dan kemakmuran sejagat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia berpendirian bahawa PBB perlu melalui reformasi untuk memperkukuh keberkesanan pertubuhan itu.
Katanya, dunia telah melalui perubahan ketara sejak PBB diwujudkan 75 tahun lalu, sekali gus pertubuhan itu yang berdepan krisis jangkaan, juga perlu bergerak seiring dengan perubahan berkenaan.
“Reformasi penting untuk mengukuhkan keberkesanan PBB sebagai sebuah pertubuhan multilateral, untuk membawa lebih banyak ketelusan dan mempertingkatkan kredibilitinya.
“Untuk itu, kita perlu bekerjasama untuk mereformasi pertubuhan ini, dan kami berharap negara anggota PBB lebih terbuka, fleksibel dan menunjukkan kesungguhan politik dalam hal ehwal keamanan antarabangsa, keselamatan dan kemakmuran,” katanya.
Beliau berucap secara maya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-76, yang dianjurkan di New York, Amerika Syarikat (AS).
Terdahulu, Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada Menteri Hal Ehwal Luar Maldives, Abdulla Shahid, yang dilantik sebagai Presiden UNGA Ke-76.
Perdana Menteri turut mengalu-alukan tema persidangan tahun ini, iaitu ‘Membina ketahanan melalui harapan – untuk pulih daripada COVID-19, menghormati hak individu, dan memperkasa PBB.
“Tema ini menjadi peringatan penting mengenai apa yang perlu dilakukan dan perjalanan yang masih panjang di hadapan kita,” katanya. – Malaysiapost

