KANAK-kanak perempuan berusia empat tahun dikhuatiri lemas dan dihanyutkan arus deras selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam, petang tadi.
Mangsa dikenali Siti Aisyah Supardi, warga Indonesia dan berstatus penduduk tetap.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 6.18 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan.
“Kanak-kanak itu dipercayai bermain berhampiran longkang dan terjatuh menyebabkannya hanyut dibawa arus deras susulan hujan berlarutan selama beberapa jam.
“Operasi SAR membabitkan empat ahli Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 6.30 petang,” katanya.
Sementara itu, Norazam berkata, hujan lebat berterusan turut mengakibatkan kejadian banjir kilat di Seksyen 13, Shah Alam dan susulan itu sebuah kenderaan dilapor terkandas petang tadi.

Menurutnya, maklumat kejadian banjir kilat itu diterima pada jam 5.09 petang dan pasukan bomba sampai kira-kira 10 minit kemudian.
“Kawasan sekitar Stadium Shah Alam dinaiki air sehingga kira-kira 1.2 meter dan sebuah kenderaan terkandas, namun pemandunya berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya. – Malaysiapost

