Hilang RM25 juta, SPRM, polis perlu beri penjelasan – Guan Eng

0
2

PENJELASAN berhubung dakwaan kehilangan barang kes membabitkan wang tunai kira-kira RM25 juta (USD6 juta) dalam siasatan kes rasuah yang dilaporkan baru-baru ini perlu dibuat segera, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, penjelasan perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Azam Baki juga perlu bercuti bagi memastikan tiada campur tangan dalam siasatan kes berkenaan susulan tiga pegawai kanan agensi berkenaan disiasat berhubung kes itu.

“Azam Baki mendapat tekanan daripada orang awam supaya mengambil cuti rehat bagi memastikan tidak ada campur tangan dalam siasatan SPRM.

“Ini berikutan penangkapan tiga pegawai kanan SPRM kerana penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berhubung kehilangan barang kes berjumlah USD6 juta (RM25 juta) milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia, Datuk Hasanah Abdul Hamid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, keadaan itu telah mencetuskan persepsi negatif dan kecurigaan orang awam terhadap campur tangan pada tahap tertinggi, ketika pegawai SPRM yang didakwa terlibat dalam kehilangan barang kes, telah direman 12 hari yang lalu.

“SPRM hanya mengeluarkan kenyataan rasmi setelah reman berakhir. Ini berbeza dengan amalan SPRM yang sengaja dan cepat mendedahkan maklumat kepada media mengenai ahli politik pembangkang ditahan atau akan didakwa di mahkamah.

“Bagaimana SPRM boleh dipercayai untuk menyiasat dirinya sendiri di atas kesalahan jenayah tersebut?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here