GURU yang enggan menerima vaksin Covid-19 hingga menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid terjejas, berkemungkinan akan ditukar ke sekolah atau negeri lain.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementeriannya sedang meneliti keperluan penukaran guru-guru berkenaan supaya tidak berinteraksi secara langsung dengan murid.

“Ada juga guru yang satu-satunya mengajar mata pelajaran tersebut tak nak divaksin… dan ada dua orang yang ditugaskan mengajar mata pelajaran tersebut dan dua-dua tak nak divaksin.
“Kalau ini yang berlaku, maknanya ini akan menjejaskan pelajaran anak-anak kita di sekolah. Sebab itu demi untuk menjaga perkhidmatan kita akan mengambil tindakan buat masa ini.
“Kita melihat bagaimana untuk bawa keluar guru-guru ini dan menukarkan mereka kepada tempat yang lebih sesuai dan ini mungkin melibatkan pertukaran di antara negeri sebagai contoh,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kolej Vokasional Langkawi, hari ini.

Menurutnya, walaupun jumlah guru yang menolak vaksin adalah kecil, tetapi setelah diselidik, pihaknya mendapati perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Kita akan mengambil tindakan dengan segera kerana kita telah memohon jasa baik guru-guru ini untuk divaksin dalam tempoh yang panjang,” katanya.
Beliau berkata, bilangan guru yang enggan divaksinasi telah menurun dari 2,500 ke sekitar 2,000 sahaja selepas menjalani beberapa proses kaunseling dari pelbagai pihak. – Malaysiapost

