Bantuan BPR Fasa 3, rayuan dibayar mulai Selasa ini

0
1
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media ketika melawat Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan Wangsa Maju hari ini. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

PEMBAYARAN Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini secara berperingkat dan dijangka selesai pada 30 September 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembayaran tersebut akan memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan.

Ujarnya, bayaran Fasa 3 dan rayuan BPR tersebut akan melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.

“Untuk Fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300.

“…termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak.

“Pembayaran Fasa 3 ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak.

Beliau berkata, pembayaran bantuan itu dijadual akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021.

“Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

“Keluarga Malaysia boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here