KETUA Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur, 39, akan mengumumkan pengisytiharan taubat (Istitabah) secara terbuka esok.
Menerusi jemputan media yang diedarkan, Sittah atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar akan membuat pengisytiharan itu kira-kira jam 11.30 pagi.

Pengisytiharan itu juga dipercayai disiarkan menerusi Facebook (FB) rasmi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
Dimaklumkan juga dalam atur cara majlis itu, majlis akan dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir.
Selain itu, Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh dilaporkan akan turut serta.
Masitah dijangka akan membaca teks Istitabah dan menandatangani dokumen perakuan taubat yang akan disaksikan empat saksi utama. Majlis itu dijangka selesai selepas teks dan perakuan taubat ditandatangani.
Difahamkan kebiasaannya selepas dokumen perakuan taubat dibuat, waran tangkap terhadapnya juga terbatal.
Sebelum ini, media melaporkan penahanan Sittah Annur, membongkar penemuan dana sumbangan pengikutnya sebanyak RM84,721.42.
Ia hasil penemuan satu resit ketika serbuan dilakukan pihak berkuasa di rumahnya di Shah Alam, awal bulan ini.
Ajaran PMYT mula didedahkan media pada 29 Ogos lalu yang pendedahannya disambut dengan siri laporan polis terhadap kumpulan itu di seluruh negara. Untuk rekod, terdapat 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu.
Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.
Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku. – Malaysiapost

