JABATAN Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan 56 pendaki didapati memasuki kawasan Air Terjun Setinggi, Serendah di Selangor tanpa permit yang sah, semalam.
Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, berkata kesemua individu berusia 19 hingga 33 tahun itu ditahan dalam operasi bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.
Katanya, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan kakitangan Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor bersama polis, susulan aduan penduduk.
“Penduduk mendakwa ramai pendaki masuk ke kawasan Air Terjun Setinggi tanpa permit sah, melalui kawasan kediaman mereka.
“Penduduk juga mendakwa pengunjung mengganggu kehidupan harian mereka dengan meletak kenderaan di tepi jalan rumah sehingga merosakkan paip air dan tong sampah, selain meninggalkan sampah merata-rata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Fadzil berkata, negeri Selangor masih berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), justeru pihaknya tidak mengeluarkan permit masuk untuk aktiviti merentas hutan (hiking) atau lain-lain tujuan rekreasi.
Susulan itu, beliau berkata, tindakan memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit sah, merupakan satu kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan).
“Kesemua 56 individu itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai diharap mematuhi peraturan sedia ada. Sebarang pertanyaan dan aduan, boleh merujuk dengan Jabatan Perhutanan Selangor atau Pejabat Hutan Daerah,” katanya. – Malaysiapost

