Sultan Johor gesa semak syarat ketat MM2H

0
1

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa kerajaan menyemak syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang diumumkan baru-baru ini.

Sultan Ibrahim menegaskan Johor antara destinasi utama pelaburan asing dan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Johor bukan sahaja berjiran dengan Singapura, malah program MM2H antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.

“Kaji semula syarat ketat ditetapkan sebelum ini dan kekalkan syarat lama dengan membuat beberapa penambahbaikan supaya dapat memberikan imbangan positif, khususnya pertumbuhan ekonomi,” titah baginda dalam kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasmi, hari ini.

Baginda menyatakan perkara demikian ketika menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Sebelum ini, Sultan Johor antara paling lantang membidas Kementerian Dalam Negeri yang enggan mengkaji semula syarat ketat MM2H.

Di bawah syarat baharu diumum 11 Ogos lalu, peserta MM2H perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan pendapatan luar negara berbanding RM10,000 sebelum ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menerusi Facebook memaklumkan beliau telah diperkenan menghadap Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi yang merupakan kali pertama selepas dilantik Perdana Menteri pada 21 Ogos lepas.

“Dalam pertemuan lebih sejam bermula pukul 11.30 pagi itu, saya menyembah maklum tentang perkembangan isu-isu semasa negara termasuk tentang usaha berterusan kerajaan, dalam membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 melalui pelbagai inisiatif.

“Patik menjunjung kasih dan merafak sembah di atas nasihat dan pandangan bijaksana Baginda Tuanku kepada patik dan kerajaan,” catatnya di Facebook, hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here