TAN Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) ditubuh di peringkat negeri dan daerah bagi membolehkan rakyat di bawah menerima usaha pemulihan dengan berkesan serta cepat.
Pengerusinya berkata bagi peringkat negeri majlis itu boleh dipimpin Menteri Besar atau Ketua Menteri manakala jawatankuasa tindakan daerah di peringkat setempat.
“Jawatankuasa Tindakan Daerah sedia ada boleh dibahagikan peranan lebih kepada aspek pemulihan, sekali gus dapat membantu lebih dekat dan terperinci apa yang sebenarnya keadaan dibawah,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, antara langkah yang diambil di peringkat nasional itu membawa kesan sampai ke peringkat bawah dalam satu jangka masa yang tidak terlalu lama.
“Perkara berkenaan akan dibincangkan ke mesyuarat MPN pada Isnin hadapan dan saya harap ia mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri untuk dilaksanakan.
“MPN menyedari Covid-19 memberi kesan besar kepada ekonomi rakyat, justeru peranan pemimpin akar umbi amat penting untuk digerakkan dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat,” katanya.
Muhyiddin menjelaskan, pemimpin di peringkat bawah juga dapat membantu memulihkan kehidupan rakyat kerana kesan daripada pandemik Covid-19 ini sampai ke akar umbi.
“Sebahagian rakyat kita sudah jatuh ke paras kemiskinan. Jika dahulu dalam kategori M40 boleh dikatakan sebahagian daripada mereka turun ke kategori B40,” katanya.-Malaysiapost

