Nilam Oshman
POLIS boleh menjalankan siasatan terhadap kes salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun jika tiada laporan polis dibuat.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, walaupun pihak SPRM tidak membuat laporan polis, perkara itu sudah diketahui umum, justeru polis boleh menjalankan siasatan bagi merungkai kes berkenaan.
“Isu ini dah keluar melalui media, jadi polis sendiri boleh mula siasatan.
“Ini kerana media adalah satu sumber maklumat, ketika zaman saya bekerja (menjadi Ketua Polis Negara) dulu, pihak media mengeluarkan maklumat, jadi saya buat laporan dan lakukan siasatan.
“Maka pihak polis perlu menyiasat perkara itu sekiranya ia melibatkan jenayah,” katanya kepada Malaysiapost.
Isnin lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan tiada laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penahanan reman tiga pegawai kanan SPRM yang didakwa mencuri barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta).
SPRM kemudian pada hari sama mengeluarkan kenyataan mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.
Semalam Abd Jalil memaklumkan polis menahan seorang pegawai kanan SPRM yang disyaki terlibat dalam kecurian barang kes bernilai RM25 juta pada selasa lalu.
Suspek disiasat kerana kesalahan memiliki dadah, senjata api serta peluru dan direman empat hari sehingga esok.
Sementara itu, Musa berkata mana-mana ketua jabatan atau institusi kerajaan perlu berani sekiranya pengawai atau anggota di bawah mereka melakukan salah laku bagi mengelak integriti dan kredibiliti agensi terbabit terjejas.
Beliau menegaskan ketua jabatan atau agensi kerajaan perlu telus memastikan sama ada pegawai atau anggota yang terlibat dalam apa sahaja salah laku disiasat dengan teliti dan dikenakan tindakan.
“Ini bagi menentukan maruah atau kredibiliti jabatan tersebut tidak terjejas.
Apa yang saya katakan ini merujuk kepada semua jabatan kerana semua jabatan ada kelemahan, jadi kita sebagai ketua kena berani ambil tindakan sekiranya anggota ada melakukan salah laku,” katanya. – Malaysiapost

