HARI kedua penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, menyaksikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendahului sesi berkenaan hari ini.
Pastinya penggulungan KKM diwakili Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjadi tumpuan utama mesyuarat hari ini, selaku kementerian memainkan peranan penting dalam menangani wabak Covid-19.
Sejumlah 11 kementerian dijadual menggulung perbahasan membabitkan isu yang dibangkitkan sepanjang empat hari perbahasan titah diraja oleh 91 wakil rakyat pembangkang dan penyokong kerajaan.
Semalam, sejumlah 16 kementerian terbabit pada hari pertama sesi penggulungan.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat selain KKM, antara kementerian lain terbabit ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Luar Negeri.
Selain itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; dan Kementerian Belia dan Sukan.
Persidangan hari ini dimulakan dengan Waktu Pertanyaan menteri diikuti sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan antara perkara yang akan dibangkitkan adalah isu capaian internet di kawasan luar bandar, pembelajaran secara maya bagi pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan pengutamaan golongan B40 memasuki asrama.
Soalan berkaitan capaian internet diajukan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort), yang meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan langkah yang akan diambil untuk memastikan capaian internet kelajuan tinggi di Sabah khususnya di kawasan luar bandar.
Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) pula mengajukan soalan kepada Menteri Pengajian Tinggi, mengenai langkah menambah baik kaedah pembelajaran secara maya bagi pelajar institusi pengajian tinggi untuk mengurangkan tekanan susulan bebanan tugasan.
Persidangan Dewan Rakyat dijadual berlangsung selama 17 hari dari 13 September hingga 12 Oktober. – Malaysiapost

