PERATUSAN vaksinasi populasi dewasa di Malaysia sehingga semalam adalah 81 peratus membabitkan 18,986,347 individu yang lengkap vaksinasi.
Manakala yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah sebanyak 93.3 peratus atau 22,348,422 individu menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin kini, setakat semalam adalah 41,247,271 dos.
Berdasarkan data dan infografik dikongsi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba di laman Twitternya, jumlah dos vaksin yang diberikan semalam adalah 321,342 dos.
Sebanyak 121,631 dos adalah dos satu daripada dua dos dan 199,711dos lengkap.
Peratusan populasi keseluruhan di Malaysia yang lengkap vaksinasi adalah 58.1 peratus, manakala yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah 68.4 peratus.
Jumlah populasi dewasa di Lembah Klang yang lengkap vaksinasi kini sudah melebihi 100 peratus iaitu 107.9 peratus, diikuti Labuan 98.1 peratus dan Negeri Sembilan 95 peratus.
Sarawak juga mencatatkan peratusan populasi dewasa lengkap vaksinasi yang tinggi iaitu 89.2 peratus, manakala Perlis mencatat 85.8 peratus.
Empat negeri kini merekodkan kadar vaksinasi lengkap lebih 70 peratus bagi populasi dewasa iaitu Terengganu (80.3), Melaka (80.6), Pulau Pinang (76.7) dan Johor (73.3).
Kedah pula mencatatkan 64.9 peratus, diikuti Perak (63.6), Pahang (63.9) dan Kelantan (62.1), manakala Sabah hanya mencatatkan 56.6 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi. – Malaysiapost

