KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mempersoalkan tindakan DAP menentang usaha kerajaan memperketat syarat untuk warga asing menetap di Malaysia termasuk Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Beliau berkata, pemimpin DAP mendakwa kononnya jika syarat MM2H diperketatkan, maka akan berlaku penghijrahan beramai-ramai orang-orang asing yang kaya.
“Soalannya, dari negara mana mereka yang DAP nak permudahkan masuk ke negara kita ini? Apa agenda sebenar DAP pertahankan mereka? Ini lebih patut kita bimbang.
“Saya sendiri berpandangan memang kita mahu pelabur asing datang ke Malaysia termasuk melalui MM2H. Tapi biarlah dengan syarat-syarat yang ketat supaya tiada salah guna dan mencapai matlamatnya,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurutnya, veteran DAP Lim Kit Siang juga ada mengatakan bimbang kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Wan Saiful berpendapat, sebenarnya seluruh rakyat Malaysia patut bimbang kerana parti DAP berterusan mengelabui mata rakyat mengenai agenda dan ideologi mereka.
“Asalnya DAP menganut fahaman sosialisme demokratik tapi kemudian perkataan itu diubah kepada demokrasi sosial. Laman web DAP sendiri mengakui asal usulnya.
“Kita semua wajib bimbang apa sebenarnya agenda parti yang datang dari keluarga sosialis ini,” katanya.
Menurutnya, kerajaan membuat keputusan yang betul melantik Muhyiddin mengepalai MPN kerana hasil perancangan beliau sudah mula dirasai hari ini dengan peratusan vaksinasi tinggi dan terus meningkat serta bekalan vaksin juga mencukupi.
“Tan Sri Muhyiddin arahkan supaya RM530 billion diagihkan untuk bantu rakyat. Jumlah yang amat besar. Bukan macam DAP yang mahukan rakyat bersyukur sebab dapat RM30 sahaja.
“Perniagaan kecil dan sederhana juga mendapat pelbagai bantuan dalam usaha memulihkan ekonomi. Tak ada sebab nak bimbang kerana hari ini rekod beliau ialah rekod kejayaan.
“Yang kita patut bimbang ialah usaha parti aliran sosialis seperti DAP yang tidak diketahui niat sebenarnya,” katanya. – Malaysiapost

