NGO desak kerajaan bebaskan tahanan Imigresen berstatus ‘stateless’ di Sabah

0
1

BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merayu kerajaan membebaskan tahanan berstatus ‘stateless’ atau tiada kerakyatan di Sabah serta-merta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim, berkata 40 peratus tahanan di dalam Depoh Tahanan Imigresen di Kota Kinabalu bukan berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi Orang Asal negeri berkenaan yang tidak mempunyai dokumen lengkap untuk memiliki kad pengenalan.

Sehubungan itu, beliau mendesak penguatkuasa termasuk Jabatan Imigresen dan polis menggantung sementara tangkapan terhadap golongan ‘stateless’ di negeri berkenaan bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku di dalam depoh tahanan.

“Selain PATI, terdapat ramai golongan kategori ini di dalam depoh tahanan kerana kebanyakan mereka didaftarkan lewat sijil kelahiran dan masih berstatus dalam siasatan atau permohonan semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah.

“Namun kerana maklum balas dan juga pengesahan dokumen lambat diterima, menyebabkan mereka juga terpaksa berada di dalam depoh bagi tempoh yang lama, sehingga lebih dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika sesi penyerahan memorandum isu depoh tahanan Imigresen dan masyarakat ‘stateless’ kepada Kementerian Dalam Negeri.

Katanya, mereka berhak menjalani kehidupan seperti manusia lain termasuk mendapat akses pendidikan dan kesihatan yang sempurna.

Beliau berkata, pihak berkuasa boleh membuat tangkapan terhadap kumpulan itu sekiranya mereka terbabit dalam kegiatan jenayah.

Dalam pada itu, Hishamuddin mendesak Kementerian Dalam Negeri menyatakan secara konkrit tempoh masa yang diperlukan dalam menyelesaikan isu komuniti ‘stateless’ di Sabah.

Beliau mencadangkan penduduk Asal Sabah tanpa kad pengenalan diberi identiti khusus atau pas tunggal berdasarkan kelayakan mereka.

“Jika mereka tak cukup syarat untuk diberi kad pengenalan, beri dokumen sah sebagai seorang manusia untuk tinggal di bumi Malaysia.

“Dokumen itu mestilah diterima dan diiktiraf oleh semua agensi penguatkuasaan agar tidak berlaku pertindihan arahan,” katanya.

Terdahulu, sesi penyerahan memorandum berkenaan membabitkan Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan) dan Persatuan Sahabat Sahabat Pejuang Nusantara (Pejuang Nusantara). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here