
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan kit ujian air liur kendiri akan disediakan kepada pelajar yang akan kembali ke asrama masing-masing apabila sesi persekolahan dibuka.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin, berkata KPM juga akan menguruskan proses saringan ujian Covid-19 yang perlu dilakukan oleh mana-mana pelajar sebelum mereka kembali ke asrama.
“Sekiranya pelajar itu katakanlah sekolah asrama penuhnya berada di Kuala Lumpur dan murid ini berada di Terengganu. Sebelum menaiki bas, kita akan kumpulkan mereka di salah sebuah sekolah asrama di Terengganu.
“Kita akan berikan kit kepada mereka untuk buat ujian saringan air liur. Sekiranya negatif mereka boleh naik bas dan datang ke asrama
“Jadi menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol (Datuk Salim Sharif), kerajaan menanggung untuk saringan ujian kendiri bagi anak-anak yang akan masuk ke asrama,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Radzi berkata, penyediaan kit ujian air liur itu akan turut diberikan kepada di setiap sekolah di seluruh negara.
Sebelum ini, KPM memaklumkan pelajar sekolah berasrama akan menjalani tiga kali ujian saringan Covid-19 dalam usaha mewujudkan gelembung selamat di sekolah berkenaan.
Sebelum sebelum masuk ke asrama, pelajar perlu menjalani ujian saringan pertama Covid-19, diikuti ujian saringan kedua pada hari keenam berada di asrama dan ujian seterusnya pada hari ke-14. – Malaysiapost
