KERAJAAN Pahang tidak pernah menerima permohonan daripada pihak yang mencadang bagi membina taman tema di Cameron Highlands.
Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan tersebut juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.
Katanya, dakwaan cadangan pembinaan taman tema di Cameron Highlands tidak benar dan ia seharusnya dirujuk kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan maklumat lebih tepat.
“Perkara itu tidak betul dan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri pun.
“Tanya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak dan Exco kerajaan negeri yang lain, tidak pernah dibincangkan dan tidak ada permohonan pun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu kerajaan Pahang menolak cadangan membina taman tema di kawasan tanah tinggi berkenaan.
Tambahnya, tindakan NGO membangkitkan isu ini telah memberi peluang pihaknya menjawab spekulasi tersebut kepada umum, bahawa hakikatnya tidak pernah membincangkan mengenai pembinaan taman tema itu dalam mesyuarat dan tiada permohonan dilakukan kepada kerajaaan negeri.
“Bagus juga bila ada NGO bantah, ada peluang untuk kita jawab kalau tidak, kita pun tidak tahu tapi hakikatnya, perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat EXCO, tidak ada permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri,” tegasnya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, walaupun status tanah itu milik persendirian, pihak terbabit tetap perlu mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri.
“Walaupun itu tanah persendirian, tidak bermakna mereka boleh membuka taman tema, selagi tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan cadangan membina taman tema di lokasi peranginan bertemakan ski bernilai RM100 juta di kawasan seluas 60 ekar di Cameron Highlands mendapat bantahan berikutan kesannya terhadap alam sekitar. – Malaysiapost

