KEBENARAN merentas negeri berskala besar bergantung kepada peralihan fasa endemik pada hujung Oktober ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata, situasi itu juga perlu dinilai secara berhati-hati supaya tidak mendatangkan implikasi dan beban kepada fasiliti kesihatan.
Katanya, ia kerana perjalanan besar-besaran buat masa ini berupaya membawa jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan tidak berisiko.
“Saya harap kita dapat fikirkan secara mendalam dalam masa terdekat ini seperti yang dimaklumkan sebelum ini kita sedang berusaha ke fasa endemik, jadi ia akan merangkumi keputusan merentas negeri.
“Mengikut nasihat Pelan Pemulihan Negara (PPN), sekarang ini dua negeri sahaja dalam Fasa 1 iaitu Kedah dan Johor, kita tunggu mungkin dalam keputusan dalam masa terdekat ini kedua-dua negeri itu akan lanjut ke fasa lain.
“Yang penting itu, risiko … Kita tidak mahu disebabkan kelonggaran dalam membenarkan perjalanan besar-besaran daripada destinasi berisiko akan membawa mereka yang dijangkiti kepada kawasan yang tiada jangkitan Covid-19.
“Kita akan berhati-hati tetapi dalam masa sama kita juga tak boleh lari untuk melihat keputusan fasa endemik pada hujung bulan Oktober ini dan ketika itu kita akan dapat membuat keputusan (rentas negeri Insya-Allah,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, selain itu, pelbagai pertimbangan lain perlu diambil kira iaitu peratusan vaksinasi, keperluan hospital dan kapasiti katil unit rawatan rapi, dalam membenarkan aktiviti rentas negeri.
“Jadi, ia menjadi fokus kerajaan untuk memberi kelonggaran yang selamat kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

