Nilam Oshman
WAKTU operasi stesen minyak, restoran, kedai makan dan kedai serbaneka akan dibenarkan dari 6 pagi hingga 12 tengah malam secara seragam di semua fasa, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata, cadangan itu dipersetujui Mesyuarat kedua Menteri Kuartet bagi membenarkan pemilik premis berkenaan beroperasi pada masa tersebut kecuali kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Ini akan diangkat ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang akan bermesyuarat esok.
“Dan ianya akan disyorkan kepada Perdana Menteri sebelum diputuskan diumumkan selepas Mesyuarat berkenaan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, penting untuk beliau menjelaskan bahawa fokus Menteri-menteri Kuartet adalah untuk membuka sektor-sektor yang terlibat secara berperingkat dan selamat.
“Fokus kita adalah #reopeningsafely, jadi bagi menuju ke fasa endemik tersebut lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat.
“Sehubungan itu, saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dan mengamalkan SOP serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

