[PARLIMEN] SERAMAI 4,422 murid sekolah kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat Covid-19 dan daripada jumlah itu 154 menjadi yatim piatu sejak wabak berkenaan melanda negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata jumlah itu adalah berdasarkan statistik daripada Kementerian Pendidikan (KPM)
Beliau berkata, jumlah itu direkodkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada awal 2020 hingga 13 September lalu.
“Pihak kementerian prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga atau kedua-duanya disebabkan pandemik Covid-19 dan memerlukan pembelaan sewajarnya.
“Kementerian telah mengambil inisiatif dan langkah-langkah bagi memberi bantuan serta sokongan kepada kanak-kanak terbabit,” katanya menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut), mengenai statistik kanak-kanak yang telah menjadi anak yatim akibat Covid-19.
Hannah turut bertanya langkah kementerian dalam penjagaan dan kebajikan kanak-kanak terbabit yang menjadi yatim atau pun yatim piatu.
Rina berkata, inisiatif dilaksanakan kementerian antaranya adalah pemberian bantuan kewangan bagi menampung keperluan hidup kanak-kanak dan anggota keluarga mereka.
“Jenis bantuan yang diberikan adalah tabung bantuan segera dan bantuan kanak-kanak
“Kerajaan semasa pengumuman Belanjawan 2021 telah bersetuju menaikkan kadar bantuan bulanan di bawah Skim Bantuan Kanak-Kanak dan Bantuan Pesakit Terlantar kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Menurutnya, bagi kanak-kanak yang berusia bawah tujuh tahun layak menerima RM200 seorang, manakala yang berusia tujuh tahun ke atas akan memperolehi RM150
“Buat pertama kalinya juga kadar maksimum bantuan kanak-kanak dinaikkan dari RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga.
“Selain itu, kita juga memberikan perkhidmatan kaunseling membabitkan kaunseling individu, berkelompok dan terapi psikologi,” katanya.
Rina berkata, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dan tiada waris atau saudara mara juga boleh ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001. – Malaysiapost

