SUSULAN penangkapan usahawan kosmetik Nur Sajat hari ini, netizen telah meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka yang mempersoalkan kewibawaan polis kerana masih gagal menangkap Jho Low.
Tinjauan di laman Twitter, wargamaya telah meluahkan perasaan mereka yang rata-rata memberi pandangan polis mesti segera menangkap Jho Low yang menjadi watak utama dalam skandal 1MDB itu.

Twitter juga melaporkan hastag Sajat menjadi trending dengan lebih 16,900 digunakan di laman sosial itu sehingga jam 10.30 malam ini
Menurut netizen, polis tidak seharusnya fokus untuk menangkap Nur Sajat sahaja kerana kes membabitkan Jho Low lebih besar dan berharap penyangak nombor satu negara itu segera ditangkap, sekali gus dapat menyelesaikan skandal 1MDB selama ini.
“@PDRMsia Jho Low bila nak jumpa, kepada yang sibuk cari Sajat tu harap boleh juga jumpa Jho Low,” ciap Malikakirlx.
“Kalau Sajat, cepat betul kamu bertindak. Jho Low sampai sekarang bebas,” ciap Seorangjesse pula.
“Semua propaganda bodoh ini tak ke mana. @PDRMsia menghabiskan duit pada Sajat, sementara itu Jho Low tidak ditemui langsung,” ciap Ashokguevera1.
“Dah macam penjenayah besar pula Sajat ni sampai beria-ria betul nak mencari. Daripada buang masa cari Sajat ni, baik pergi cari Jho Low. Itu baru betul penyangak besar yang merugikan negara,” ciap Sunny.
Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, dilaporkan ditahan pihak Imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.
Dia ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak Imigresen jam 6 petang (waktu Thailand). -Malaysiapost

