Kewarganegaraan automatik: Keputusan kerajaan tidak berasas – MIC

0
1
KUALA LUMPUR 29 NOVEMBER 2018. Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Sivarraajh Chandran menjawab soalan media di lobi Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN *** Local Caption ***

KEPUTUSAN kerajaan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing, adalah tindakan tidak berasas.

Naib Presiden MIC, Datuk Sivaraajh Chandran berkata menurut statistik yang didapati melalui Hansard Parlimen, sejak 2013 hingga 2018 sahaja terdapat 4,959 permohonan kewarganegaan di bawah Perkara 15 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Ia melibatkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Daripada jumlah tersebut, katanya, hanya 142 permohonan diluluskan manakala 3,715 lagi ditolak, manakala bagi tempoh 2018 hingga 2019, terdapat 2,253 permohonan kewarganegaan baru diterima kerajaan.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September 2021 yang memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik, akhirnya memberi harapan baharu kepada hampir 5,000 pemohon sedia ada.

“Rata-ratanya dari jumlah tersebut adalah golongan ibu yang berhajat untuk membesarkan anak-anak mereka di Malaysia akibat pelbagai faktor. Antaranya, saya difahamkan adalah perkahwinan yang gagal akibat kekerasan rumah tetangga dan sebagainya.

“Realitinya ibu-ibu ini berhak untuk menganugerahkan (jika perlu) taraf kewarganegaraan kepada anak-anak mereka seperti didapati oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir dalam keputusannya tempoh hari yang berkata ‘perkataan ‘bapa’ dalam jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu’,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sivaraajh berkata tindakan kerajaan untuk membelakangi keputusan yang cukup bermakna itu dengan mengemukakan rayuan adalah terkebelakang dan seolah-olah mencerminkan ketiadaaan komitmen untuk memperkasa hak asasi wanita secara umumnya.

Akibat tindakan ini, katanya, hampir 5,000 ibu-ibu yang telah memohon taraf kewarganegaraan dan ramai lagi yang belum memohon akan terus terbeban untuk mencapai hajat mereka membesarkan anak sebagai warganegara Malaysia.

“Kerajaan perlu segera mempertimbangkan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang cukup bermakna ini.

“Jika seorang ayah warganegara Malaysia dapat menganugerahkan kewarganegaraan secara automatik kepada anaknya, begitu jugalah sepatutnya dengan seorang ibu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here