MALAYSIA kekal dengan pendirian supaya keamanan dan keselamatan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik dikekalkan.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata ini termasuk pelucutan senjata nuklear dan penggunaannya secara aman di rantau berkenaan.
Katanya, penubuhan AUKUS iaitu kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat akan mencetuskan perlumbaan peningkatan persenjataan di rantau Indo-Pasifik.
Jelasnya, pertambahan kapal selam dan kapal perang bertenaga nuklear terutama di Laut China Selatan pastinya akan mengganggu keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.
“Semua pihak harus menahan diri daripada menggunakan tindakan ketenteraan dianggap provokatif selain berpotensi meningkatkan ketegangan serta mencetuskan konflik di kawasan itu.
“Sebagai anggota ASEAN, Malaysia akan sentiasa berpegang teguh pada prinsip dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan antarabangsa. Semua perlu hormat pendirian dan pendekatan Malaysia yang sedia ada di bawah Konvensyen PBB 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS).
“Juga Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kegusaran Malaysia terhadap penubuhan AUKUS dan berpendirian kerjasama itu akan mencetuskan perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.
Hishamuddin berkata Malaysia juga konsisten memastikan tidak berlaku sebarang pertembungan sehingga tercetusnya sebarang insiden tidak diingini.
“Semua perkara perlu diselesaikan secara membina dan aman.
“Saya dijadualkan untuk bercakap dengan Menteri Pertahanan Australia esok melalui panggilan telefon. Dalam perbincangan ini saya akan sahkan kembali kedudukan Malaysia serta pandangan Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost

