Kurangkan jumlah penumpang pesawat, feri ke Langkawi – Tun M

0
3

AHLI Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya jumlah penumpang dalam pesawat dan feri bagi gelembung pelancongan ke Langkawi dikurangkan untuk membolehkan penjarakan fizikal.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika tidak dikurangkan maka penumpang akan duduk berdekatan dan jangkitan mudah berlaku sungguhpun adanya ujian saringan sebelum masuk ke pulau berkenaan.

Menurutnya, sejak gelembung pelancongan dibuka, sebanyak 14 kali penerbangan masuk dan tiga kali perjalanan feri dijadual ke Langkawi.

Dr Mahathir berkata, secara umum beliau berpuas hati dengan perkembangan itu tetapi berpendapat perlu ada kesedaran dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika menaiki pesawat dan feri.

“Saya cadang jumlah penumpang dikurang untuk adakan jarak fizikal. Jika tidak penumpang akan duduk berdekatan dan jangkitan mudah berlaku sungguhpun adanya ujian saringan sebelum masuk.

“Jarak satu meter ini perlu dipastikan bukan sahaja dalam pesawat atau feri, ini termasuklah semasa berbaris di terminal. Sebaiknya SOP ialah satu meter setiap seorang.

Kita perlu ikut saranan itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. Beliau berkata, pengurangan penumpang dalam pesawat atau feri boleh ditampung dengan penambahan kekerapan perjalanan masuk dan keluar ke pulau pelancongan terbabit.

Menurutnya, penduduk dan pelancong perlu saling bertanggungjawab mematuhi SOP kerana jika program gelembung pelancongan itu gagal, sudah pasti ia beri kesan negatif kepada industri pelancongan Langkawi.

“Semestinya saya gembira lihat pulau ini kembali ceria, namun semua yang datang dan tinggal di sini perlulah patuh SOP pencegahan Covid-19,’ katanya.

Dr Mahathir berkesempatan pulang ke Langkawi bagi meninjau sendiri perkembangan semasa setelah Langkawi dibuka untuk gelembung pelancongan bermula 16 September lalu.

Beliau diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Nasaruddin Abdul Muttalib, pagi semalam.

“Dalam taklimat bersama LADA, saya dimaklum sudah ada negara luar seperti Singapura, Rusia dan Poland memohon masuk melalui ‘charter flight’.

“Sebelum kita terima, kita perlu pastikan kejayaan pelancongan domestik terlebih dahulu. Kesiapsiagaan sistem kesihatan amat penting dalam menghadapi penularan luar jangka.

“Saya ingin ucap terima kasih dan selamat datang kepada semua pelawat yang memilih Langkawi sebagai tempat bercuti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here