PERCUBAAN seorang cucu menjual koleksi lukisan datuknya yang berusia 81 tahun menerusi media sosial ternyata berbaloi apabila mendapat sambutan hangat daripada pengguna.
Puteri Nur Asyura Norman dalam hantaran di twitternya menawarkan lukisan datuknya,
Syed Hashim Syed Ahmad dengan harga antara RM30 hingga RM150.
Ciapan gadis berusia 24 tahun telah mendapat maklum balas baik dan sebanyak 50 lukisan berjaya dijual dalam tiga hari.
“Masih ada 60 keping lagi lukisan yang belum dijual. Sejujurnya saya sangat terharu dengan sokongan ramai di Twitter.
“Selain nak beli lukisan, ada juga yang komen memuji hasil karya walid dan minta saya sampaikan salam kepadanya,” katanya dipetik mStar.
Puteri Nur Asyura berkata keluarganya menyifatkan perkara itu sebagai rezeki walaupun pada mulanya bimbang tidak mendapat sambutan.
“Pada satu malam, saya kongsi juga dan bangun esoknya dikejutkan dengan mesej di Twitter.
“Saya sangat terharu sebab ramai yang nak bantu walid cari rezeki. Saya pun sekadar nak tolong keluarga,” katanya.
Jelasnya ada yang meminta datuknya melukis lukisan mengikut citarasa mereka namun terpaksa ditolak dengan baik atas faktor umur datuknya.-Malaysiapost




