Malaysia gusar impak kapal selam nuklear cetus perlumbaan senjata

0
1

MALAYSIA menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) yang ingin membenarkan Australia memiliki sebuah kapal selam berkuasa nuklear.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kegusaran itu bakal mencetuskan perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

“Pada masa sama, ia akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

“Sebagai sebuah negara dalam ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan beliau menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, semalam.

Menurut Ismail Sabri, Morrison memaklumkan dan memberi penjelasan kepada Malaysia mengenai penubuhan kerjasama AUKUS termasuk menyentuh kapal selam berkuasa nuklear yang bakal diperoleh Australia.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Malaysia menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia.

Ini termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea – UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (Southeast Asia Nuclear Weapons Free Zone – SEANWFZ).

Selain itu, kedua-dua pemimpin mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, khususnya di rantau Indo-Pasifik.

Ismail Sabri juga menggesa semua pihak agar mengelak sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini, selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada.

“Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuh kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek, termasuk bidang pertahanan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership),” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here