Wakil rakyat jangan terlalu harap dana bantuan kerajaan – Anwar

0
1

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa wakil rakyatnya tidak terlalu mengharapkan dana bantuan kerajaan.

Sebaliknya Ketua Pembangkang itu berkata mereka boleh menggunakan wang peribadi untuk membantu rakyat yang kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Katanya, tugas ahli politik bukan saja membawa usul dan mengemukakan dasar serta memberi teguran, malah terus memberi khidmat bakti yang baik.

“Perkara ini sudah saya tegaskan berkali-kali kepada semua Ahli Parlimen dan Adun di negeri-negeri, selain sumbangan diterima dari kerajaan, setiap mereka mesti dan wajib keluarkan dana peribadi untuk bantu rakyat yang susah.

“Bukan saja berupaya guna duit kerajaan atau minta derma (untuk bantu rakyat), tetapi harus tunjuk tauladan yang baik dengan bantu rakyat guna duit poket sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan pelepasan jentera Peduli Nadi Rakyat yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Program jelajah itu adalah inisiatif kerajaan Selangor untuk berkongsi bantuan dan keprihatinan ke atas rakyat yang susah di negeri-negeri lain akibat pandemik.

Sebanyak 10,000 pertama barang-barang keperluan asas telah digerakkan pagi tadi.

Sementara itu, Anwar mengulangi gesaan supaya kerajaan Persekutuan menyuntik tunai berjumlah RM45 bilion kepada kumpulan B40 dan M40 bagi mengurangkan beban sara hidup mereka sepanjang pandemik Covid-19.

“Suntikan dana khas bagi keluarga B40 dan M40 yang terkesan dengan Covid-19 harus dipertimbangkan.

“Perkara ini juga yang saya tekankan ketika menandatangani memorandum persefahaman dengan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here