Faizal mohon maaf kepada operator, pemilik gimnasium

0
1

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon maaf kepada operator dan pemilik gimnasium susulan salah faham mengenai pembukaan semula kemudahan itu di negeri-negeri Fasa Dua dan Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Ahmad Faizal bagaimanapun berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya gimnasium dibuka semula dengan segera.

“Saya mohon maaf atas salah faham. Saya percaya timbalan saya tersalah sebut atau salah maklumat. Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikannya dengan KKM dan MKN,” katanya seperti dilaporkan portal The Vibes.

Semalam Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dilaporkan berkata semua kemudahan sukan di negeri Fasa Dua dan ke atas PPN akan dibuka mulai hari ini, kecuali gimnasium hanya boleh beroperasi selepas prosedur operasi standard (SOP) tambahan diwartakan.

Beliau berkata SOP tambahan khusus untuk gimnasium dan sukan tertutup, akan diumumkan secepat mungkin.

Bagaimanapun pada masa sama, beberapa media lain melaporkan Lian Ker berkata, gimnasium di negeri Fasa Dua dan Tiga akan dibenarkan beroperasi hari ini dan hanya mereka yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk.

Pada 8 September lalu, kerajaan membenarkan aktiviti sukan dalam dan luar dewan kepada individu yang lengkap dua dos vaksin, kecuali gimnasium. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here