Sultan Johor kecewa KDN enggan semak syarat ketat MM2H

0
1

SULTAN Johor menzahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Dalan Negeri (KDN) kerana enggan menyemak semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut bertitah akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat.

Ini memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.

Baginda bertitah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan menyemak semula syarat ketat Program MM2H.

“Namun apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes, dan ini adalah di luar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.

“Jika keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu, maka pihak KDN hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan, bukannya melibatkan semua peserta,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah keputusan berkenaan hanya akan membawa implikasi negatif, memandangkan Program MM2H sebelum ini membawa kesan positif kepada ekonomi negara.

“MM2H merupakan satu program yang memberi kesan baik kepada ekonomi Malaysia dan begitu juga kepada rakyat serta kerajaan.

“Jika sekarang kita mengenakan syarat ketat hingga memberi kesan kepada peserta, dikhuathiri kelak akan menjejaskan imej negara di mata dunia,” tegas Sultan Johor.

Baginda seterusnya berharap perkara itu akan mendapat perhatian serta pertimbangan kerajaan tanpa membuat keputusan drastik terhadap program tersebut.

Pada 1 September lalu, Hamzah dilaporkan berkata kira-kira 8,000 daripada 57,478 peserta prinsipal dan tanggungan program MM2H didapati tidak bermastautin di negara ini.

Hamzah dilaporkan sudah mengarahkan pegawainya menghubungi individu terbabit bagi mengetahui hasrat mereka untuk terus berada dalam program MM2H dalam negara ini.

Sebelum itu, Hamzah berkata, kerajaan telah melakukan penambahbaikan kepada syarat permohonan Program MM2H, namun peserta sedia ada diminta tidak gusar dengan usaha dijalankan kerajaan itu.

Katanya, dasar kerajaan ketika ini menetapkan bilangan peserta MM2H pada satu peratus daripada jumlah populasi negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here