Ruang solat dah kena ‘booking’, MP Pasir Mas solat Jumaat di luar

0
1

Nurul Huda Abhar

ISU kuota jemaah bagi solat Jumaat menjadi perdebatan kebelakangan ini kerana masjid menghadkan jumlah jemaah untuk solat fardu dan Jumaat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perkara sama dikongsikan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi satu hantaran di Facebooknya, memberitahu terpaksa beredar daripada ruangan solat di dalam surau kerana tempat tersebut telah di‘booking’ terlebih dahulu.

Menurutnya, beliau tiba di sebuah surau yang didirikan solat Jumaat di ibu kota pada jam 12.35 tengah hari dan terus menuju ke ruangan solat utama.

“Saya masuk ke ruang utama, Alhamdulillah masih kosong. Berbunga-bunga hati rasanya selepas sekian lama tidak berkesempatan mendirikan solat Jumaat.

“Sebaik sahaja saya ‘parking’ sejadah, datang seorang jemaah meminta saya dengan lembut untuk beredar keluar, katanya, semua tempat dalam ini sudah dibooking,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, setelah ditegur beliau baru tersedar ruangan solat utama tersebut telah ada kertas bertulis nama di setiap sejadah.

“Semua ini sedang ambil wuduk… saya ambil sejadah, solat di luar. Terima kasih dan tahniah kepada pihak pengurusan surau/masjid yang telah bertungkus-lumus menjaga rumah Allah SWT dan memastikan keselesaan.

“Bagaimanapun, amalan ‘booking tempat’ ini barangkali perlu sedikit penambahbaikan… kalau saya, terasa juga malu nama tercatat atas kertas di sejadah ni tapi lewat tiba sehingga khutbah diperdengarkan.

“Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita semua,” katanya lagi.

Sebelum ini, isu jumlah jemaah menjadi perhatian selepas tular video berdurasi 57 saat memaparkan sekumpulan lelaki dilarang memasuki kawasan masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Kejadian tersebut berlaku di Masjid Putra di Putrajaya, di mana video tersebut dirakam seorang individu yang menunggu untuk memasuki ruangan masjid.

Tidak lama kemudian individu yang baru tiba di masjid itu dengan menaiki kenderaan mewah dibenarkan masuk untuk menunaikan solat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here