KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menafikan kesahihan poster yang tular di media sosial, kononnya pergerakan rentas daerah dan negeri dibenarkan mulai 18 September 2021.
Pasukan Respon Pantas KKMM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan poster berkenaan adalah palsu dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai disaran untuk berhenti daripada menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
“Sebaliknya sentiasa merujuk media sosial rasmi kementerian/jabatan/agensi berkaitan untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu tersebar di media sosial sejak semalam poster memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tertulis kononnya pergerakan rentas daerah dan negeri dibenarkan mulai 18 September 2021 kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – Malaysiapost

