Nilam Oshman
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong sepenuhnya program ‘MyInspirasi untuk Keluarga Malaysia’ bagi membantu perusahaan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Program itu anjuran International Entrepreneur Network (IEN) bersama Yayasan Wholistik Family (WFA), Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA), Kumpulan Syarikat d’Tandoor, Tetuan Esther Ong Tengku Saiful dan Sree (ETS) serta Nerv Global.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau percaya program itu akan memberi banyak faedah kepada pemilik perniagaan kerana dapat membantu mereka mencari peluang dan berkolaborasi dengan usahawan lain.
“Justeru, insiatif ini dapat menjadi batu loncatan penting dalam melaksanakan kolaborasi serta mempercepatkan proses pemulihan perniagaan.
“Selain itu, IEN juga berhasrat memperkasakan usahawan ke arah kecemerlangan melalui penekanan berterusan dalam perkembangan holistik bagi mempercepat proses pemulihan bagi membangunkan perniagaan dalam masa sama perubahan mereka itu dapat memberi pengaruh positif kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MyInspirasi Keluarga Malaysia (MIKM 2021) sempena Sambutan Hari Malaysia secara maya hari ini.
Alexander berkata, beliau sedar disebabkan pandemik, banyak perniagaan ditutup dan paling teruk terkesan adalah perniagaan kecil termasuk perusahaan mikro dan tidak formal kerana produk dan perkhidmatan mereka dalam sektor tidak penting (non-essential service).
“Situasi ini membimbangkan. Oleh itu, bagi membantu mengatasi cabaran tersebut, saya gembira kerana IEN mengambil inisiatif melaksanakan program ini ketika kita menyambut Hari Malaysia.
“Lebih 150 usahawan dijemput hari ini untuk berkongsi mesej aspirasi dan inspirasi mereka untuk membawa negara kita ke tahap yang lebih tinggi, yang dipanggil ‘Keluarga Malaysia Grand Networking’ (KMGN),” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan usahawan kecil dan sederhana untuk melangkah ke hadapan dan meluaskan perniagaan francais masing-masing walaupun kini n ekonomi negara dalam kemelut Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

